”Breakfast” di bulan Ramadhan

By Ain Azlan,  May 20'

Sarapan pagi atau “breakfast” sering diabaikan dan dipandang remeh oleh sesetengah individu.  Ada sesetengah individu berpendapat mengambil sarapan pagi adalah tidak penting dan tidak perlu dengan alasan mereka tidak sempat dan kesuntukan masa. Tetapi mereka lupa bahawa mengambil sarapan pagi boleh memberikan banyak manfaat kepada kesihatan mereka. Pengambilan sarapan pagi yang berkhasiat dan seimbang secara tidak langsung dapat membekalkan tenaga dan nutrien yang mencukupi bagi memulakan hari dengan lebih cergas dan fokus.

 

Pengambilan sarapan pagi yang sihat juga akan dapat meningkatkan metabolisme dan membuatkan ia bekerja lebih keras selepas semalaman berehat tanpa makan. Sarapan pagi yang sihat akan membolehkan badan untuk mula membakar kalori dari awal pagi dan bukannya di tengah hari selepas pengambilan makanan tengah hari. Sarapan pagi yang sihat seperti  bijirin gandum, roti dan produk berasaskan tenusu antara trend makanan sarapan pagi yang menjadi pilihan bagi sesetengah individu terutamanya bagi individu yang belajar dan bekerja. Hal ini demikian kerana, penyediaan makanan seperti ini sangat mudah, cepat dan menjimatkan masa malah ia juga boleh membantu mengurangkan risiko metabolic syndrome (keadaan dimana berlakunya peningkatan risiko penyakit jantung, strok dan diabetes tahap 2) serta dapat mengawal tahap insulin dalam badan.

 

Namun, apabila menjelang bulan Ramadhan waktu untuk sarapan pagi bagi kaum muslimin adalah berbeza.  Kebiasaannya kita mengambil sarapan pagi selepas 1 hingga 2 jam bangun dari tidur. Tetapi pada bulan Ramadhan kaum muslimin akan makan atau bersahur pada waktu dini hari atau sebelum terbit fajar. Bersahur boleh disama ertikan dengan sarapan pagi kerana kedua-duanya dimulakan sebaik sahaja bangun dari tidur dan tujuannya adalah sama iaitu untuk mengekalkan tenaga bagi memulakan hari baru. Pengambilan makanan yang mempunyai kandungan air yang tinggi sangat digalakkan diambil pada waktu sahur. Hal ini demikian kerana, badan kita memerlukan air yang secukupnya untuk kekal hidrat. Jadi makanan seperti tembikai adalah sangat sesuai. Disamping itu, makanan yang tinggi dengan protein, kanji dan serat juga sangat disarankan. Makanan yang kaya dengan sumber protein, kanji dan serat seperti nasi, telur, bijirin dan roti gandum akan mengambil masa lebih lama untuk hadam dan akan membuatkan kita kekal kenyang dan betenaga dalam tempoh yang panjang.

 

 

Disini tidak dapat diragukan lagi bahawa pengambilan sarapan pagi atau bersahur adalah hidangan yang sangat penting. Jadi ambillah sarapan pagi atau bersahur walaupun hanya sekadar secawan susu dan sekeping roti ‘whole-meal’ kerana ia akan memberikan tenaga untuk memulakan hari anda. Elakkan mengambil makanan yang pedas, berminyak serta tinggi kandungan kaefin kerana ia akan membuatkan badan cepat keletihan.

 

 

 

 

 

Leave a reply